AMINUDDIN BAKI TOKOH PENDIDIKAN

Written By kaciza on Isnin, 7 Jun 2010 | 2:49 PTG

Aminuddin Baki, bertubuh sederhana, berkaca mata dan berwajah tenang, anak watan negeri Perak Darul Ridzuan, merupakan anak melayu termuda yang pernah dilantik untuk menyandang jawatan Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia, telah dilahirkan dalam keluarga sederhana yang kuat beribadat di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor mulai tahun 1932. Pada 1936, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Anderson, Ipoh pada tahun 1936 hingga 1941. Beliau lulus cemerlang dalam sijil persekolahannya pada tahun 1946. Aminuddin sebagai belia yang bersemangat kebangsaan berusaha meniupkan semangat tersebut dengan menyatukan pelajar-pelajar Melayu. Dalam bulan April 1946, usaha beliau itu berhasil dengan tertubuhnya PERMI (Persatuan Pelajar Melayu Insaf) di Ipoh. 
Dalam bulan Ogos 1947 pula, Aminuddin berjaya menyatukan tenaga pelajar-pelajar di Negeri Perak, dengan itu muncullah PERMI Negeri Perak. Aminuddin Baki melanjutkan pelajaran ke Raffles College, Singapura. Ketika dalam pengajian, beliau telah mengambil inisiatif menyatukan pelajar-pelajar Melayu dari Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward. Pelajar tersebut telah menubuhkan Jawatankuasa Sementara Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Pada Oktober 1949, Aminuddin Baki menyambung semula pelajaran di Universiti Malaya. Beliau telah lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A) dalam tahun 1950. 
Aminuddin Baki mempunyai rekod pelajaran yang cemerlang sehingga beliau dianugerahkan hadiah pelajaran ‘Queen’s Scholarship’ dan disusuli ‘Queen’s Fellow’ untuk melanjutkan pelajaran di peringkat kepujian dan Ijazah ‘Master of Methods’ di Universiti of London. Sekembalinya dari London, Aminuddin Baki bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris yang kini dikenali sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Beliau kemudiannya bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pelajaran dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Negeri Sembilan dan Selangor. Pada tahun 1961, beliau telah dilantik menjadi Ketua Penasihat Pelajaran ketika beliau berusia 36 tahun.
Aminuddin Baki menjadikan pendidikan sebagai medan perjuangan untuk berbakti kepada bangsa dan negara. Beliau mencurahkan segala pengalaman beliau dengan menduduki hampir seluruh jawatankuasa yang mengkaji sistem pelajaran sebelum dan selepas merdeka. Selain bidang pendidikan, beliau juga turut serta dalam memberikan sumbangan dalam aneka bidang. Antaranya bidang bahasa, budaya dan kemasyarakatan. Beliau juga merupakan tokoh penting dalam peloporan gerakan pelajar terutamanya GPMS.

Aminuddin Baki seorang yang kuat beribadat, sejarah Islam menjadi sumber kekuatan dirinya dan agama Islam dianuti sebagai pembimbing manusia di dunia dan akhirat. Beliau meninggal dunia pada 24 Disember 1965 dan beliau telah meninggalkan beberapa amanat yang salah satunya menjadi motto kolej ini iaitu :



AGAMA DIJUNJUNG, TAMADUN DIPIMPIN’

0 ulasan:

Catat Ulasan