Aminuddin Baki Dalam Kenangan (26 Januari 1926 - 24 Disember 1965)

Written By H MZ on Isnin, 14 Februari 2011 | 9:59 PG

Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga
Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal
Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga
Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal
- Allahyarham Aminuddin Baki

Kira-kira 44 tahun yang lepas, tanggal 24 Disember 1965 bersamaan 1 Ramadhan 1385 Hijrah mereka yang cintakan pendidikan khasnya warga pendidik Melayu telah diselubungi kesedihan yang amat kerana perginya seorang pejuang pendidikan Melayu, Aminuddin Baki mengadap Ilahi dalam usia yang cukup muda iaitu 39 tahun selepas menunaikan sembahyang Asar di rumahnya.


Sesungguhnya pemergian Allahyarham Aminudin Baki merupakan satu kehilangan besar kepada bangsa Melayu kerana beliau merupakan seorang tokoh pendidik yang sentiasa meletakkan kepentingan memperjuangkan kecemerlangan pelajar Melayu melebihi segalanya. Ke mana sahaja beliau pergi , di mana sahaja beliau berucap, kecemerlangan dan potensi pelajar Melayulah yang sentiasa ditekankan.


Kebimbangan dan kerisauan beliau tentang masa depan bangsa Melayu sentiasa terungkap. Di antaranya : ‘ Jangan suatu hati nanti ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Alah sabung menang sorak, ayam menang kampung tergadai “

Beliau dilahirkan pada 26 Januari 1926 di Kampung Batu Sembilan, salah sebuah perkampungan Mandailing di Chemor, Perak Darul Ridzuan. Sebagaimana yang kita tahu, Chemor merupakan sebuah desa yang kekurangan segalanya, terletak dalam daerah Kinta, Perak tetapi mampu menjadi kebanggaan masyarakat Chemor kerana di situlah lahirnya sebutir permata, Akitek Pendidikan Moden yang tiada penggantinya sehingga hari ini. Kita seharusnya berbangga kerana beliau sebenarnya telah memulakan anjakan paradigma dan merubah minda masyarakat Melayu dengan meletakkan ketinggian ilmu sebagai teras utama untuk mencipta masyarakat terbilang.
Komitmen beliau terhadap kecemerlangan pendidikan Melayu mula terserlah sejak beliau menuntut lagi. Semasa beliau menuntut di Singapura beliau bersama-sama rakan-rakan yang lain telah membuka kelas bahasa Inggeris pada sebelah petang untuk mengajar anak-anak Melayu Singapura di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Telok Kurau dan Sekolah Tanglin Tinggi. Kelas tersebut telah dilaksanakan secara serentak di sekolah-sekolah berkenaan dengan bantuan beberapa orang rakannya. Program tersebut diteruskan sehingga beliau tamat pengajian di Singapura pada 1951. Sekembalinya ke tanah air, perjuangan beliau untuk membina kecemerlangan pendidikan terus dipertingkatkan sehingga beliau akhirnya diberikan amanah untuk menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran pada tahun 1961 dalam usia 36 tahun.


Satu sifat Allahyarham yang mungkin jarang-jarang terdapat kepada sebilangan daripada kita apabila berjawatan tinggi adalah sifat merendah diri dan tidak bercakap sombong walaupun beliau menjawat jawatan tertinggi dalam sistem pendidikan negara ketika itu. Dengan wajah yang manis dan sentiasa mengukir senyuman serta anggukan kepala kepada sesiapa sahaja yang temuinya menyebabkan kehadirannya dirasai oleh masyarakat.


Beliau tidak pernah terasa rendah diri untuk turun padang mengamalkan konsep masyarakat diutamakan, bertemu dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang dan mendapatkan pandangan mereka ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Sikap beliau yang tidak pernah mengarah dan tidak pernah menunjukkan kuasa menyebabkan pegawai-pegawai bawahannya merasa selesa apabila berurusan dengan beliau. Begitu juga sikapnya yang tidak mengira masa dan tempat bekerja telah memberikan motivasi yang cukup tinggi kepada pegawai-pegawainya untuk bekerja dan berusaha meletakkan pendidikan sebagai teras keagungan sesebuah bangsa.


Sesungguhnya Aminudin Baki telah menghabiskan sebahagian besar kehidupannya dengan mengabdikan diri kepada kepada agama, nusa dan bangsa melalui usaha-usahanya meninggikan mutu dan darjat bangsa menerusi pendidikan. Perjuangan beliau dalam mempertingkatkan pendidikan ini bukan sahaja tertumpu kepada organisasi pendidikan formal yang diketuainya sahaja tetapi beliau juga telah menyumbangkan jasanya melalui organisasi pendidikan terbesar iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang penubuhannya telah dicetuskan oleh pemikiran beliau sendiri dengan tujuan untuk menyatukan kesemua badan-badan pelajar Melayu yang ada ketika itu (1948) dan bernaung di bawah satu badan yang dinamakan GPMS.


Sesungguhnya penubuhan GPMS pada Ogos 1948 ini oleh Aminudin Baki dan beberapa rakan-rakan beliau seperti Mohamad Noor Marahakim, Abdullah Majid, Wan Sulaiman Pa’wan Teh, Abdul Wahab Mohamed Ariff dan Siti Hasmah Mohd Ali telah membuka lembaran baru dalam perjuangan mempertingkatkan pendidikan Melayu, di mana matlamat perjuangan GPMS telah dimeterikan di dalam Mukadimah GPMS yang dilafazkan setiap masa yang di antara telah menyedarkan kita bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina-mulianya bangsa itu di tangan kita selaras dengan ingatan Allah swt di dalam Al Quran yang menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu melainkan bangsa itu sendiri yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.


Allahyarham Aminudin Baki cukup sinonim dengan perjuangan GPMS ini. Beliau sentiasa mengibarkan bendera ilmu untuk menyedarkan dan mengingatkan pelajar Melayu akan kepentingan menguasai ilmu. Semasa berada di dalam GPMS sama ada ketika memimpin atau menjadi ahli GPMS, Aminudin Baki sentiasa bergerak dan bertemu pelajar-pelajar Melayu di seluruh pelusuk bandar dan desa dengan menyampaikan suntikan motivasi ke arah melahirkan bangsa Melayu yang tinggi ilmunya. Beberapa siri ucapan beliau yang masih segar dan khasnya disebar-luaskan oleh GPMS sehingga hari ini kepada anak Melayu di seluruh pelusuk negara :


‘Kita baru mencapai pengayuh, orang sudah sampai ke seberang’ Al-Quran telah mengingatkan kita segala rezeki, nafkah kurniaan Tuhan itu tidak datang menggolek atau jatuh ke riba kalau kita tidak mengusahakannya.


Beliau juga di dalam Siri Gerakan Obor mulai 1964 sering menegaskan kepada pelajar-pelajar Melayu khasnya:
“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Apakah kita akan terus menjadi pemerhati saja dan dengan bertambahnya jumlah kita tertinggal di belakang? Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air kita sendiri?”


Aminudin Baki telah banyak menaburkan jasa kepada pendidikan negara khasnya untuk pelajar-prlajar Melayu. Sesungguhnya pembangunan sekolah menengah kebangsaan seluruh negara merupakan salah satu perjuangan beliau. Begitu juga peperiksaan-peperiksaan awam seperti LCE, OSC, dan MCE yang kini bertukar nama kepada SRP/PMR, SPM dan STPM adalah antara usaha Allahyarham Aminudin Baki memperbanyakkan anak-anak Melayu mencapai taraf pendidikan menengah tinggi.


Allahyarham bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, bahkan semasa hayatnya sentiasa bertindak sebagai pengkritik masyarakat. Beliau mengakui tentang kemiskinan dan kemunduran orang Melayu di tanah air sendiri. Begitu juga beliau menyedari tentang kekurangan pelajar-pelajar Melayu yang berpendidikan tinggi. Keadaan sebegini menurutnya bukan sahaja berpunca dari dasar penjajahan atau penindasan golongan lain di negeri ini, tetapi yang lebih penting ialah sikap orang Melayu yang enggan menyesuaikan diri dan tidak berani merebut peluang bagi memaju dan mempertingkatkan kemajuan mereka.


Kini segalanya telah terpahat rapi dalam lipatan sejarah. Namun semangat gerakan obor perjuangan beliau tidak sekali-kali padam kerana ia akan terus disemarakkan oleh kita yang bergelar pejuang bangsa apatah lagi di dalam saat kita berhadapan arus globalisasi dan gelombang kebangkitan perdana pendidikan negara yang semakin mencabar ini.


Sedikit malang dan terharu, walau sudah 44 tahun meninggalkan kita dengan jasa yang terpahat dalam lipatan sejarah, namun tiada satu pengiktirafan khasnya daripada pihak kerajaan terhadap beliau. Kalau Allahyarham P. Ramlee yang banyak berjasa kepada seni budaya negara semasa hayatnya dianugerahkan darjah kebesaran, mengapa Aminudin Baki kita lupakan? Apakah jasa Aminudin Baki tidak setanding dengan P.Ramlee atau jasa Aminudin Baki hanya layak dijenamakan kepada Institut Aminudin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki , Jalan Aminudin Baki, Yayasan Aminudin Baki dan Pusat Global Aminudin Baki, UPSI?
Pada pengamatan saya nama-nama tersebut dijenamakan oleh Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan sahaja tetapi penganugerahan darjah kebesaran merupakan pengiktirafan secara langsung kerajaan kepada beliau. Sesungguhnya beliau dan keluarganya tidak pernah mengharapkan penganugerahan tersebut tetapi saya fikir tidak keterlaluan jika kita memberikannya sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan beliau.


Sekalung tahniah dan penghargaan kepada GPMS Negeri Perak yang telah menubuhkan Galeri Aminudin Baki di Ipoh, Perak Darul Ridzuan kerana melalui galeri ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada Allahyarham tetapi lebih penting dari itu, generasi muda khasnya ahli-ahli GPMS akan sentiasa mengingati dan mengamalkan perjuangan suci beliau. Kini dengan penuh harapan kita menunggu pihak kerajaan mengumumkan penganugerahan darjah kebesaran di samping membina Memorial Aminudin Baki sebagai penghormatan di atas jasa pengorbanan beliau semasa hayatnya.


Allahyarham telah berjuang keras demi mengembalikan maruah bangsa dan telah meletakkan bangsa Melayu setanding dengan bangsa lain sehingga beliau dianggap sebagai “Bapa Pendidikan Moden Negara “. Namun demikian, apakah kita mampu melaksanakan amanah tersebut setahap apa yang telah beliau sumbangkan? Apakah kita hanya mampu terus mendodoikan lagu bangau oh bangau untuk meletakkan kelemahan diri sendiri ke bahu orang lain? Atau apakah kita ingin terus bercakaran sesama sendiri demi agenda politik sempit yang tiada noktah? Justeru itu, marilah kita bermuhasabah dan mencari titik persamaan demi kelangsungan survival agama dan bangsa. Usah kita perdebatkan titik perbezaan di antara kita kerana ia tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang menguntungkan masa depan anak cucu kita.
Sudah sampai masanya kita kembali bertaut memperkasakan akal budi bagi melahirkan generasi ilmuan dengan tekad memperkukuhkan perjuangan ke arah mempastikan harapan dan impian Allahyarham Aminudin Baki yang ingin melihat bangsanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain akan dapat direalisasikan.


Marilah kita menanamkan azam dan iltizam untuk mempertingkatkan kecemerlangan bangsa tanpa memperdulikan ideologi serta fahaman politik kerana yang lebih penting, kita perlu terus berjuang, kita perlu terus hidup dan kita perlu terus mempastikan agar kesucian Islam, maruah bangsa dan kedaulatan negara terus terpelihara. Jangan nanti kita seperti Pak Kadok – menang sorak kampung tergadai.


Kerana cintakan kami hidupmu rasa tersula,
Engkau tahu, dan engkaulah yang paling tahu,
Bahawa amatlah malang itik di air mati dahaga.
Kerana sayangkan kami resah hidupmu bagai tersalai,
Engkau tahu, dan engkaulah yang paling tahu,
Malang bangsamu, menang sorak kampung tergadai.
- Firdaus Abdullah : Pahlawan, Engkau Telah Pergi


SALAM PERJUANGAN dan AL FATIHAH UNTUK
ALLAHYARHAM AMINUDIN BAKI

0 ulasan:

Catat Ulasan