Borang pemberian bantuan RM500 disini!!!

Written By H MZ on Rabu, 7 Disember 2011 | 8:21 PTG

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan ketua kampung termasuk ketua kampung baru membuka bilik gerakan masing-masing bagi memudahkan orang ramai mendapatkan borang pemberian bantuan RM500 pada 10 Dis ini.

Beliau berkata, pengedaran borang itu akan dilakukan sehingga 9 Jan depan bagi memudahkan individu yang tergolong dalam kategori berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, memperolehi borang tersebut.

“Sekiranya terdapat ketua kampung yang tidak buka bilik gerakan mereka,pemohon hendaklah melaporkannya kepada pejabat negeri atau pejabat daerah. Saya berharap penghulu kampung melakukan pemantauan untuk memastikan pengedaran borang ini dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

“Barangkali borang yang akan diedarkan tidak mencukupi untuk pemohon, jadi saya minta agar semua ketua kampung dan pihak bertanggungjawab buat salinan (fotostat) borang itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya hari ini.

Zambry berkata borang yang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional,pejabat-pejabat penghulu dan kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh Perak.

“Pembayaran bantuan RM500 akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai 16 Januari depan di mana tarikh sebenar dan lokasi-lokasi majlis penyerahan baucer tunai akan ditentukan oleh pejabat-pejabat daerah dan tanah. Pemohon-pemohon akan dihubungi kemudian,” katanya.

Zambry turut menegaskan bahawa borang tersebut adalah percuma, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengenakan bayaran maka pemohon perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa atau pejabat daerah.

“Pemohon juga boleh mendapatkan borang itu dengan memuat turun daripada internet melalui laman web LHDN. Janganlah ada pihak ambil kesempatan untuk jual borang-borang ini bagi mengaut keuntungan,” katanya.

Individu yang layak menerima bantuan adalah yang berkahwin termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, individu (bujang, duda, ibu tunggal) yang mempunyai tanggungan serta warga emas sebatang kara.

-Bernama-

0 ulasan:

Catat Ulasan